KLANG, 22 NOV: Kejadian banjir di beberapa kawasan di Klang menunjukkan pengurangan susulan usaha Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menaik taraf sistem perparitan dan menyediakan kolam takungan bagi mengawal aliran air ketika hujan lebat.
Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain berkata langkah pembesaran longkang, penambahbaikan sistem perparitan dan pembinaan kolam takungan membantu mengurangkan risiko limpahan air ke kediaman penduduk, termasuk di Sentosa yang sebelum ini kerap dilanda banjir.
“Jadi itu menyebabkan air tak masuk ke dalam rumah walaupun ada, tetapi ia tidak naik tinggi dan berada di takungan,” katanya kepada media selepas program Larian Bandaraya Diraja Klang di sini, hari ini.
Menurutnya, antara pendekatan dilaksanakan ialah menjadikan padang permainan di Sentosa sebagai kolam takungan sementara atau 'dry pond' bagi menampung air hujan sebelum dilepaskan secara berperingkat.
Bagaimanapun, beliau berkata Klang masih berdepan risiko banjir kilat apabila hujan terlalu lebat sehingga melebihi kapasiti sistem perparitan sedia ada, selain fenomena air pasang tinggi yang menghalang aliran air sungai ke laut.

"Sehubungan itu, MBDK turut mengarahkan kontraktor menjalankan kerja pembersihan sistem perparitan dan kolam takungan bagi memastikan keupayaan saliran berada pada tahap optimum," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata MBDK sedang membangunkan kolam takungan bawah tanah di kawasan tempat letak kereta Jalan Tengku Kelana sebagai pendekatan mengatasi kekangan ruang bagi tujuan mitigasi banjir.
Katanya, projek yang dijangka siap pada Disember ini menggunakan konsep dua fungsi, iaitu tempat letak kereta di bahagian atas dan kolam takungan di bawahnya.
Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata pelaksanaan pelan mitigasi banjir secara berperingkat turut berdepan cabaran di kawasan pembangunan lama berikutan kekurangan tanah rizab untuk kerja pembesaran longkang.
“Kita sedang mencari (jalan) dan kita ada pelan mitigasi banjir untuk kita laksanakan secara berperingkat,” katanya.
Beliau turut berharap projek mitigasi banjir dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), termasuk kerja pembesaran sungai, dapat membantu mengurangkan risiko banjir di Klang.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan memerlukan kos tinggi, khususnya bagi pengambilan tanah dan pembinaan struktur, justeru MBDK berusaha mendapatkan peruntukan daripada pelbagai sumber termasuk Kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko air pasang supaya sentiasa mengikuti jadual serta pengumuman agensi berkaitan, selain meletakkan barangan berharga dan dokumen penting di tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan.







