Risiko banjir Klang: Pemaju diarah bersihkan kolam takungan

21 Nov 2026, 10:23 AM
Risiko banjir Klang: Pemaju diarah bersihkan kolam takungan

SHAH ALAM, 21 NOV: Pemaju di Klang diarah membersihkan kolam takungan di bawah kawalan masing-masing sebagai langkah awal mengurangkan risiko banjir sepanjang musim hujan.

Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain berkata Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) turut mengarahkan kontraktor membersihkan longkang dan parit monsun bagi memastikan sistem saliran bersedia menampung peningkatan aliran air.

"Kita telah mengarahkan pihak pemaju yang masih ada kolam takungan di bawah kawalan mereka untuk membersihkan kolam takungan tersebut," katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, pembersihan parit monsun dijadualkan tiga kali setahun, namun kekerapannya boleh ditambah mengikut keperluan semasa.

"Seandainya longkang monsun tersebut dalam keadaan yang perlu dibersihkan, kita akan buat lebih daripada jumlah tersebut," ujarnya.

Beliau menambah, bagi longkang di kawasan perumahan, pembersihan dilaksanakan sekali atau dua kali sebulan mengikut jadual di bawah KDEB Waste Management.

"Itu yang kita minta supaya jadual tersebut dipatuhi semua kontraktor," jelasnya.

Selain itu, Hamid berkata MBDK sudah memeriksa pam air bagi memastikan peralatan berkenaan sedia mengalirkan air dari kawasan perumahan ke saliran utama.

Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain bercakap kepada media selepas majlis perasmian Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor (K-SEMANIS '26) dan Majlis Apresiasi Pengiktirafan Prestasi, Inspirasi Dan Kecemerlangan Akademik Daerah Klang Tahun 2025 (PRISMA25) di Wyndham Acmar, Klang pada 4 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya membuat persediaan awal bagi melindungi barangan berharga dan kelengkapan rumah.

"Kalau katakan jumlah hujan yang tinggi dan pada masa sama air pasang, kemungkinan untuk banjir kilat itu akan berlaku," katanya.

Mengenai persediaan pemindahan, beliau berkata dewan majlis sedia digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) melalui penyelarasan Jawatankuasa Bencana Daerah Klang bersama agensi berkaitan.

"Anggota MBDK akan ditempatkan di dewan berkenaan bagi membantu kawalan serta memastikan keperluan logistik dan kemudahan berada dalam keadaan baik," katanya.

Terdahulu, isu banjir di Klang turut dibangkitkan Pengerusi Blok Penyokong Kerajaan (BBC), Azmizam Zaman Huri ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Beliau menyarankan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang menyelaras pemeriksaan sistem saliran bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), MBDK dan agensi berkaitan, bermula dari longkang kediaman hingga ke pintu air.

Azmizam turut mencadangkan setiap jajaran parit tidak bertuan diletakkan di bawah tanggungjawab agensi tertentu, dengan projek awal melibatkan parit sepanjang 7.7 kilometer sekitar Klang.

Beliau juga mahu sistem saliran pembangunan baharu dinilai dengan mengambil kira kesannya terhadap kampung dan taman perumahan sedia ada sebelum kelulusan kebenaran merancang diberikan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.