SHAH ALAM, 30 Dis: Sebuah premis makanan di Jalan Jenjarum dekat Bukit Beruntung diarahkan ditutup selama 14 hari selepas dapurnya didapati tercemar dengan najis tikus dan lipas.
Tindakan itu diambil menerusi Ops Suci yang dilaksanakan Bahagian Inspektorat Jabatan Perkhidmatan dan Pengurusan Sisa Pepejal Awam (JPSPPA) Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Usahawan, bermula jam 8 malam, Selasa lalu.
MPHS memaklumkan, antara ketidakpatuhan serius yang dikesan termasuk pengendali makanan tiada rekod suntikan pelalian anti-tifoid, tidak menghadiri Kursus Pengendali Makanan serta kegagalan memakai pakaian pengendali yang sesuai.
“Pemeriksaan turut mendapati peralatan memasak tidak bersih, tiada kawalan suhu makanan, sistem pelepasan asap tidak disenggara, tandas tidak mencapai piawaian BMW serta lantai dapur licin dan menakung air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut MPHS, pemeriksaan juga menemukan sisa makanan dan minyak dilepaskan ke longkang awam akibat perangkap minyak tidak diselenggara, selain penggunaan bekas polisterina, alat pemadam api tamat tempoh serta amalan kebersihan yang berisiko menyebabkan pencemaran silang.
Susulan penemuan itu, Bahagian Inspektorat JPSPPA MPHS mengeluarkan 12 tawaran Notis Kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan 2007, manakala Jabatan Penguatkuasaan mengeluarkan enam tawaran notis kompaun.
“Jumlah keseluruhan nilai kompaun maksimum yang dikenakan adalah sebanyak RM15,000,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penutupan serta-merta dikenakan selepas premis berkenaan didapati berada di bawah piawaian kebersihan MPHS, termasuk kehadiran LiLaTiN (Lipas, Lalat, Tikus dan Nyamuk).
“Premis diarahkan ditutup selama 14 hari bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan menyeluruh dilaksanakan sebelum pemeriksaan semula dilakukan,” katanya.
MPHS berharap tindakan penguatkuasaan ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha premis makanan supaya sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan demi melindungi kesihatan pengguna serta komuniti setempat.



