SHAH ALAM, 7 APRIL: Isu semak samun di beberapa kawasan perumahan sekitar Bukit Beruntung dan Prima Beruntung berjaya diselesaikan selepas tindakan susulan diambil Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Ahli Majlis Zon 21 MPHS, Hayati Chat berkata aduan berhubung masalah itu telah dipanjangkan kepada pihak majlis sejak Mei 2025 dan dipantau secara berterusan sehingga kerja pembersihan selesai dilaksanakan pada 20 Ogos lalu.
Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Inspektorat serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPHS.
"Kerja pembersihan melibatkan beberapa lokasi termasuk Jalan Mawar di Bukit Beruntung serta Jalan Kekwa, Jalan Melor, Jalan Anggerik, Jalan Inai dan Jalan Kemboja di sekitar Prima Beruntung.
“Operasi ini dijalankan berikutan aduan serta tampalan Notis B iaitu mengkehendaki Kacau Ganggu dalam tempoh dua minggu, diikuti siasatan susulan dan pengeluaran arahan pembersihan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Hayati berkata, sebanyak 59 notis dikeluarkan kepada pemilik premis sepanjang operasi berkenaan.
“Hasil daripada jumlah tersebut, 36 pemilik premis telah mengambil tindakan sendiri untuk membersihkan kawasan masing-masing, manakala 23 premis lagi dibersihkan oleh kontraktor lantikan MPHS,” katanya.
Tambah beliau, kawasan terlibat dibersihkan secara berkala bermula 25 Julai selepas siasatan dan penguatkuasaan dijalankan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemilik premis supaya sentiasa menyelenggara kawasan masing-masing bagi mengelakkan pembiakan nyamuk, kehadiran haiwan berbisa serta gangguan kepada komuniti setempat.
Tegasnya, kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan kerja pembersihan dilaksanakan oleh kontraktor dan kos akan dicaj kepada pemilik melalui cukai pintu.








