AMPANG, 24 NOV: Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) Hospital Ampang mencatatkan peningkatan pesakit di Zon Kuning sehingga 25 peratus berbanding purata kehadiran harian dalam tempoh kebelakangan ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataan media pada 21 Nov lalu, memaklumkan, lonjakan jumlah pesakit yang tinggi itu menyebabkan kesesakan di jabatan berkenaan selain menjejaskan tempoh kemasukan pesakit ke wad.
Sebelum ini, isu itu tular di media sosial dan media melaporkan tentang kesesakan yang berlaku di Hospital Ampang apabila kebanyakan pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di atas katil mudah alih sementara menunggu giliran untuk dipindahkan ke wad.
Menurut kenyataan, pihak pengurusan hospital telah mengambil langkah penambahbaikan bagi menangani lonjakan berkenaan menerusi pengukuhan proses aliran kemasukan dan discaj pesakit.
Selain itu, langkah berkenaan turut merangkumi penggunaan ruang menunggu discaj (discharge lounge) yang lebih cekap serta pengurusan sumber manusia yang berkesan.
JKNS turut menghargai maklum balas masyarakat dan kekal komited memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan berada pada tahap optimum tanpa kompromi terhadap keselamatan serta pengurusan rawatan pesakit.







