SHAH ALAM, 7 JUN: Masyarakat digalak mengambil insurans kesihatan pada usia muda kerana kadar premium lebih rendah ketika masih sihat, kata ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan langkah itu penting sebagai jaminan kewangan jangka panjang berikutan kenaikan kos rawatan perubatan yang semakin membebankan ketika ini.
Tambahnya, peningkatan itu juga lebih pantas berbanding kadar inflasi biasa sehingga boleh memberi tekanan besar kepada kewangan individu yang tidak mempunyai perlindungan mencukupi.
“Golongan muda sebenarnya berada dalam kedudukan terbaik untuk mendapatkan perlindungan kesihatan kerana premium insurans lebih murah ketika usia muda dan sihat.
“Kebiasaannya mereka belum mempunyai penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kolesterol atau penyakit jantung, jadi risiko kesihatan dianggap lebih rendah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kesihatan pada waktu ini tidak dapat menjamin masa depan berikutan perubahan gaya hidup anak muda seperti tekanan kerja dan kurang bersenam.
Dalam pada itu, Dr Mohd Afzanizam menjelaskan insurans kesihatan bukan sahaja membantu menampung kos rawatan, malah sebahagian daripada perancangan kewangan jangka panjang.
Katanya, ada individu terpaksa menjual aset, membuat pinjaman atau menggunakan simpanan lain termasuk dana pendidikan anak-anak bagi menampung kos rawatan.
Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan tekanan emosi terutama apabila individu yang sakit kehilangan punca pendapatan dan tidak lagi mampu bekerja.
“Apabila hilang pendapatan kerana tidak dapat bekerja, risiko kewangan menjadi lebih besar dan ada yang terpaksa berhutang atau menggunakan simpanan persaraan bagi menampung kos rawatan,” katanya.
Namun, beliau menasihatkan orang ramai meneliti beberapa perkara penting sebelum memilih pelan insurans termasuk had tahunan dan had perlindungan, jenis penyakit dan rawatan yang dilindungi serta panel hospital yang disediakan.
“Selain itu, kemampuan membayar premium dalam jangka panjang juga perlu dipertimbangkan supaya perlindungan yang diambil benar-benar sesuai dengan kedudukan kewangan masing-masing,” katanya.









