Pasangan bakal berkahwin digalak jalani saringan talasemia lebih awal

13 Jun 2026, 8:00 AM
Pasangan bakal berkahwin digalak jalani saringan talasemia lebih awal

SHAH ALAM, 13 JUN: Pasangan yang merancang untuk berkahwin digalakkan menjalani saringan talasemia lebih awal bagi mengurangkan risiko melahirkan anak menghidap talasemia major yang memerlukan rawatan sepanjang hayat.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata kesedaran mengenai penyakit genetik itu perlu dipertingkatkan, termasuk menerusi kursus praperkahwinan dan kempen penerangan oleh agensi berkaitan.

“Jika ujian HIV diwajibkan sebelum berkahwin, kita juga menggalakkan pasangan menjalani saringan lain termasuk talasemia.

“Dari semasa ke semasa, kita akan mengingatkan agensi berkaitan supaya terus memberi perhatian terhadap isu ini,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri belum memutuskan sebarang pelaksanaan khusus berkaitan saringan talasemia, namun perkara itu boleh dipertimbangkan mengikut keperluan semasa dan pandangan pihak berkaitan.

Katanya, tumpuan Selangor ketika ini lebih terarah kepada usaha menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), menggalakkan gaya hidup sihat serta isu kesihatan yang dikenal pasti sebagai keutamaan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor.

“Jika terdapat keperluan dan isu ini diketengahkan secara lebih serius oleh pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, kita akan mempertimbangkannya.

“Seperti isu tuberkulosis (TB), ia dikenal pasti sebagai keutamaan sebelum ini dan sebab itu Kerajaan Negeri memperuntukkan antara RM800,000 hingga RM1 juta setahun bagi membantu pesakit menjalani rawatan,” katanya.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas majlis pelancaran AED dan sesi latihan penggunaan AED di Restoran Golden Kim Wah, Damansara Kim, Petaling Jaya pada 16 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Bagaimanapun, Jamaliah mengingatkan masyarakat agar tidak memandang ringan terhadap talasemia kerana pembawa penyakit itu lazimnya kelihatan sihat dan tidak menunjukkan gejala.

Beliau berkata saringan awal penting bagi membantu pasangan mengetahui risiko yang dihadapi sebelum berkahwin serta merancang masa depan keluarga dengan lebih baik.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seramai 57,910 daripada 2.12 juta murid yang menjalani saringan di seluruh negara dikenal pasti sebagai pembawa talasemia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata angka itu meletakkan prevalens pembawa talasemia pada kadar 59.1 bagi setiap 1,000 murid yang disaring.

Tinjauan Global Burden of Disease 2021 pula menganggarkan 1.31 juta individu di seluruh dunia menghidap talasemia teruk, manakala 358 juta lagi merupakan pembawa penyakit tersebut, yang menyebabkan kira-kira 11,100 kematian setiap tahun.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.