SHAH ALAM, 7 JUN: Graduan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Selangor (UNISEL) senang memperoleh pekerjaan dan hampir semuanya diambil bekerja dalam masa enam bulan selepas tamat pengajian.
Dekannya Mohd Sharikh Dali Mahad memberitahu kejayaan tersebut ekoran kurikulum sains kesihatan disusun mengikut kehendak pasaran dan pelajar didedahkan kepada latihan amali.
Katanya, sebanyak 97.6 peratus graduan memperoleh pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat pengajian berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2025 Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau memberitahu beberapa program kritikal seperti fisioterapi, pengimejan perubatan dan teknologi makmal perubatan pula mencatat kadar kebolehpasaran sebanyak 100 peratus.
"Graduan yang kita lahirkan, mereka ini boleh kita kategorikan dalam permintaan tinggi. Belum habis belajar lagi, pihak hospital sudah mula bertanya-tanya pelajar yang bakal bergraduasi.
"Ini terutama dalam bidang fisioterapi, pengimejan perubatan, teknologi makmal perubatan dan kejururawatan,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Mohd Sharikh, kekuatan utama antaranya kurikulum berorientasi industri yang memberi penekanan kepada latihan klinikal secara intensif di hospital utama sejak awal pengajian.
Katanya, pelajar juga mendapat sokongan 17 hospital swasta di seluruh Semenanjung Malaysia yang menyediakan peluang latihan industri dan penajaan penuh kepada pelajar terpilih.
“Pengajian di sini bukan sekadar teori. Kita memberi penekanan kepada pengalaman industri, kemahiran klinikal dan pembangunan profesional pelajar.
"Sebab itu industri melihat graduan kita mempunyai keterampilan yang berbeza dari segi disiplin kerja, komunikasi dan tahap kesiapsiagaan untuk terus berkhidmat,” katanya.









