Tanggapan tuntutan rumit punca ramai abai insurans kesihatan

7 Jun 2026, 8:00 AM
Tanggapan tuntutan rumit punca ramai abai insurans kesihatan
Tanggapan tuntutan rumit punca ramai abai insurans kesihatan

SHAH ALAM, 7 JUN: Tanggapan proses tuntutan insurans kesihatan rumit antara faktor menyebabkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memiliki perlindungan itu masih rendah.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ramai menganggap insurans bukan keutamaan, selain dakwaan syarat perlindungan sukar difahami.

Beliau menambah ia turut didorong tanggapan penyakit hanya berlaku pada usia tua mengakibatkan golongan muda merasakan tiada keperluan memiliki pelan kesihatan lebih awal.

“Disebabkan itu masih ramai rakyat terutama golongan muda bergantung kepada hospital kerajaan kerana kos rawatan lebih rendah. Mereka melihat insurans bukan keutamaan kerana perlu mendahulukan keperluan asas lain,” katanya kepada Media Selangor.

Wawancara bersama Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid di pejabat Media Selangor Sdn Bhd, Shah Alam pada 30 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Tegasnya, tanggapan itu perlu diubah kerana insurans menjadi pelindung terhadap ketidakpastian terutama apabila seseorang berdepan masalah kesihatan yang memerlukan rawatan kos tinggi.

Situasi itu, jelas Dr Mohd Afzanizam boleh menambah tekanan emosi terutama apabila individu terbabit kehilangan pendapatan akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh panjang.

“Sekiranya seseorang tidak mempunyai perlindungan dan tiba-tiba ditimpa penyakit, kos rawatan perlu ditanggung sendiri dan ia boleh memberi tekanan besar kepada kewangan keluarga.

“(Justeru) apabila ada perlindungan yang sesuai, risiko kewangan dan tekanan emosi akibat kos rawatan dapat diurus dengan lebih baik,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.