PBT diseru guna simpanan, hasil kutipan untuk naik taraf kemudahan awam

21 Nov 2026, 6:15 AM
PBT diseru guna simpanan, hasil kutipan untuk naik taraf kemudahan awam
PBT diseru guna simpanan, hasil kutipan untuk naik taraf kemudahan awam
PBT diseru guna simpanan, hasil kutipan untuk naik taraf kemudahan awam

AMPANG, 21 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diseru memanfaatkan sebahagian simpanan serta hasil kutipan caj pemajuan untuk menaik taraf kemudahan awam demi keselesaan penduduk.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata PBT perlu mengeluarkan sedikit peruntukan bagi memastikan kemudahan seperti dewan dan padang permainan sentiasa dalam keadaan baik serta dapat digunakan masyarakat setempat.

"Sebelum ini, saya mengarahkan PBT untuk menggunakan sebahagian simpanan mereka bagi menaik taraf dan membaik pulih kemudahan awam demi kepentingan serta kesejahteraan masyarakat.

“Saya memuji komitmen Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang memperuntukkan tambahan RM700,000 bagi pembangunan semula Taman Rekreasi Madani AU2, selain peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif Padang Madani,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Pembukaan Taman Rekreasi Madani AU2, Ampang, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPAJ Ts. Hasrolnizam Shaari berkata kos keseluruhan pembangunan semula kawasan rekreasi itu berjumlah RM1.7 juta, termasuk peruntukan tambahan daripada simpanan hasil kutipan caj pemajuan PBT.

“MPAJ memperuntukkan tambahan RM700,000 daripada simpanan hasil kutipan caj pemajuan bagi memastikan keseluruhan komponen pembangunan taman rekreasi ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Pembangunan semula itu merangkumi penambahbaikan kemudahan asas serta peluasan kawasan permainan kanak-kanak selain penyediaan fasiliti sukan seperti pickleball, badminton, bola jaring, bola sepak dan ragbi bagi kegunaan pelbagai lapisan masyarakat.

Selain itu, MPAJ turut menyediakan tapak yang berpotensi digunakan bagi aktiviti jualan kecil-kecilan pada masa akan datang, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat menjalankan kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) yang memanfaatkan 104,000 pelajar menerusi penyediaan makanan dua kali seminggu akan diteruskan pada 2027 dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pelaksanaan program itu dijangka bermula sekitar April tahun depan dengan sasaran kira-kira 100,000 pelajar menerima manfaat makanan percuma.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.