SHAH ALAM, 16 NOV: Kerja membaiki benteng saliran yang rosak akibat pergerakan tanah berhampiran kediaman penduduk di Jalan F1, Taman Melawati dijangka siap dalam tempoh empat minggu.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan kerja pembaikan akan dimulakan dalam masa terdekat selepas pemeriksaan mendapati pergerakan tanah menyebabkan kerosakan pada tebing saliran berkenaan.
Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, pemeriksaan tapak dijalankan baru-baru ini susulan aduan diterima berhubung kerosakan tersebut.
Katanya, Jabatan Kejuruteraan MPAJ turut melaksanakan pemeriksaan awal dan penilaian bagi mengenal pasti keadaan kawasan terjejas serta menentukan skop pembaikan diperlukan.
"Kontraktor sudah dilantik bagi menjalankan kerja berkenaan, manakala persiapan bagi memulakan pembaikan juga sedang dijalankan.
"Kerja pembaikan dijadualkan bermula dalam masa terdekat dan dijangka selesai dalam tempoh empat minggu selepas kerja dimulakan," menurut MPAJ.
MPAJ turut memberi jaminan pemantauan akan diteruskan sepanjang pelaksanaan kerja bagi memastikan keselamatan penduduk dan infrastruktur awam di kawasan berkenaan terpelihara.
Dalam perkembangan berasingan, MPAJ turut menerima aduan berhubung kejadian pokok tumbang di Jalan Perdana 10/1, Pandan Perdana.
Menurut MPAJ, Jabatan Penguatkuasaan menerima aduan kejadian itu pada jam 8 malam sebelum tindakan diambil di lokasi terjejas.
Tindakan berkenaan dilaksanakan bagi memastikan kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat selain tidak menghalang laluan pengguna jalan raya.







