SPR: Hampir 42,000 pemilih baharu didaftar Oktober lalu

23 Nov 2026, 8:55 AM
SPR: Hampir 42,000 pemilih baharu didaftar Oktober lalu

PUTRAJAYA, 23 NOV: Seramai 41,958 warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu sepanjang Oktober lalu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pendaftaran itu terkandung dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober 2026 (DPT BLN10/2026) yang diwartakan hari ini dan dibuka untuk semakan selama 60 hari hingga 21 Januari 2027.

Katanya, daftar berkenaan turut merekodkan 17,076 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 4,109 pemilih yang membuat pertukaran kategori atau status pengundi.

"SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Oktober hingga 31 Oktober 2026 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN10/2026," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata individu yang mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam daftar berkenaan boleh mengemukakan tuntutan menggunakan Borang C menerusi aplikasi dalam talian MySPR atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkaitan.

Sementara itu, pemilih berdaftar yang ingin membantah kemasukan nama pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan raya mereka boleh mengemukakan bantahan menggunakan Borang D.

Beliau berkata semakan boleh dibuat menerusi portal rasmi SPR di www.spr.gov.my atau mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi dalam talian myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak serta talian 03-8892 7218.

Borang tuntutan dan bantahan juga boleh dimuat turun menerusi portal SPR sebelum diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkaitan, manakala fi bantahan perlu dibayar pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.