SHAH ALAM, 14 NOV: Seramai 31.07 peratus pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 setakat jam 11.30 pagi ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata perkembangan itu memberangsangkan dan pihaknya optimis sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus keluar mengundi mampu dicapai.
Menurutnya, pengundi wanita mencatatkan kadar keluar mengundi lebih tinggi berbanding lelaki setakat ini.
"Sehingga sekarang ini, wanita mendahului lelaki keluar mengundi. Wanita telah pun 31 peratus keluar mengundi," katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Ditemui selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, Ramlan memaklumkan lebih 7,000 pengundi berdaftar dalam kategori orang kurang upaya (OKU) telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Beliau menyifatkan penyertaan golongan itu sebagai perkembangan positif dalam proses demokrasi negeri berkenaan.
Mengulas sasaran keseluruhan, Ramlan berkata SPR menjangkakan kadar keluar mengundi mampu mencapai antara 70 hingga 75 peratus.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi supaya hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan serta kemungkinan gangguan akibat hujan yang diramalkan berlaku pada sebelah petang.
"Saya tetap menyeru orang ramai untuk keluar lebih awal mengundi kerana kita takut cuaca yang diramalkan akan berlaku hujan pada sebelah petang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, keputusan awal PRN Melaka dijangka diumumkan selewat-lewatnya jam 9.30 malam ini, manakala keputusan bagi kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka diketahui sebelum tengah malam.
Proses pengiraan undi akan dilaksanakan di pusat mengundi sebelum keputusan disalurkan ke pusat penjumlahan undi bagi setiap DUN, seterusnya kepada urus setia SPR di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh.
Sebanyak 240 pusat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi dan dijadualkan ditutup pada jam 6 petang ini.






