PRN Sarawak 12 Disember, lebih dua juta pemilih layak mengundi

6 Nov 2026, 3:43 AM
PRN Sarawak 12 Disember, lebih dua juta pemilih layak mengundi

SHAH ALAM, 6 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember ini sebagai hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 yang membabitkan 82 kerusi.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal pada 8 Disember.

Menurutnya, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon pada 28 November sehingga jam 11.59 malam, 11 Disember.

"SPR telah mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan memutuskan PRN Sarawak Yang Ke-13 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramlan berkata seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya yang dikemas kini sehingga 25 Oktober lalu.

Jumlah itu merangkumi 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan.

Beliau berkata sebanyak 2,027 pusat mengundi dengan 4,588 saluran akan disediakan, membabitkan pelantikan 40,505 petugas pilihan raya.

SPR turut menganggarkan peruntukan RM174.94 juta diperlukan bagi mengendalikan pilihan raya berkenaan.

Selain itu, SPR akan memperluas penggunaan sistem pengecaman aksara optik bagi merekod kehadiran pengundi (OCR-VA) ke semua saluran mengundi di 82 bahagian pilihan raya negeri.

Sistem itu membolehkan kehadiran pengundi direkodkan secara automatik melalui imbasan maklumat dokumen pengenalan diri bagi mempercepat proses semakan tanpa mengubah tatacara pengundian sedia ada.

Pemilih boleh menyemak maklumat pusat dan saluran mengundi mulai 23 November menerusi portal MySPR Semak atau aplikasi MySPR Semak.

Untuk rekod, DUN Sarawak dibubarkan pada 26 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-13, selepas pengumuman Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.