JASIN, 13 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi sekitar 70 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, manakala keputusan penuh dijangka diketahui sebelum 12 tengah malam.
Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata sasaran tersebut merupakan angka yang baik bagi pilihan raya negeri dan SPR berharap pengundi Melaka tampil menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing.
"Kita harap 70 peratuslah, tambahan lagi ini satu PRN bukan PRK (Pilihan Raya Kecil). Jadi kita harap (pengundi) berminat untuk datang dan mengundi...seramai mungkinlah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses semakan isi peti undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Politeknik Merlimau, di sini hari ini.
Mengenai jangkaan masa pengumuman keputusan penuh esok, Azmi berkata proses berkenaan bergantung kepada masa ketibaan peti undi di pusat penjumlahan rasmi undi serta keadaan cuaca semasa.
"Ikut undang-undang, kita kena tunggu kotak itu sampai di pusat pengumpulan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku sepanjang proses itu. Kita tak boleh jangka, kalau kata hujan ke banjir ke. Tetapi secara amnya tak adalah lambat sangat. Ya, dalam sebelum 12 (malam) macam tu," katanya.
Sementara itu, Azmi menasihati pengundi supaya keluar awal memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat ini menjangkakan berlaku ribut petir pada sebelah petang.
Beliau turut mengingatkan semua calon, jentera parti dan penyokong agar menghentikan sebarang bentuk kempen termasuk di platform dalam talian tepat 11.59 malam ini selaras dengan peraturan pilihan raya.






