PRN Melaka: 12,531 pengundi awal mengundi di 31 pusat esok

9 Nov 2026, 3:30 PM
PRN Melaka: 12,531 pengundi awal mengundi di 31 pusat esok

MELAKA, 9 NOV: Sebanyak 12,531 pengundi awal yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 akan melaksanakan tanggungjawab mereka di 31 pusat mengundi awal yang diwartakan di seluruh negeri esok.

Pengundi awal bagi PRN Melaka kali ini terdiri daripada 9,769 anggota tentera bersama pasangan serta 2,762 anggota polis.

Semua pusat mengundi akan dibuka serentak pada 8 pagi esok dan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang, bergantung kepada lokasi serta jumlah pemilih berdaftar.

Beberapa pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih kecil, antaranya Balai Polis Masjid Tanah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan Balai Polis Gadek bagi DUN Gadek dijangka ditutup seawal 12 tengah hari.

Pusat mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 1 pula dijadualkan ditutup pada 5 petang.

Secara keseluruhan, sebanyak 687,697 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada PRN Melaka kali ini.

Pilihan raya ini menyaksikan Pakatan Harapan mempertaruhkan calon di 24 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (23), Parti Bersama Malaysia (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (tujuh), Perikatan Nasional (lima), parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan Bebas (tiga).

Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional menang 21 kerusi, sekali gus membentuk kerajaan negeri manakala Pakatan Harapan menang lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 14 Nov ini.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/pm/melaka/2026/.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.