SHAH ALAM, 15 OKT: Jabatan atau agensi kerajaan perlu mengubah strategi dengan menitikberat isu berkaitan penyelenggaraan atau naik taraf infrastruktur bagi mengatasi masalah banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berkata penyelenggaraan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian terutama apabila melibatkan kawasan lama.
“Apabila kita mengabaikan peruntukan penyelenggaraan, ia akan beri kesan kepada masalah banjir dan mungkin menelan belanja lebih tinggi kerana tidak diselenggara, belum lagi projek sakit atau tergendala.
“Kita kena ubah strategi yang mana selain peruntukan bina baharu kemudahan mengikut peredaran semasa, perlu juga pertingkatkan dana penyelenggaraan, seharusnya kedua-dua peruntukan ini perlu sejajar,” kata Lau Weng San.
Terdahulu, beliau yang juga speaker Dewan Negeri Selangor mempengerusikan sesi pendengaran awam itu bagi membincangkan tentang perkembangan terkini usaha dalam menangani masalah banjir di Klang yang berlangsung di Bilik Gerakan Wisma DNS.
Pada sesi tersebut, Weng San berpuas hati dengan tujuh saksi yang memberi keterangan berhubung isu tersebut terdiri Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah dan Tanah Klang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dana penyelengaraan yang diperuntuk oleh MBDK dan JPS bagi kerja selenggara infrastruktur untuk tangani masalah banjir di kawasan Klang rendah.
“Keputusan JPS untuk melihat semua peruntukan penyelenggaraan dengan memasukkannya dalam dasar baharu mereka bertepatan biarpun ia hanya boleh dilaksana menjelang 2027.
“Walaupun agak teknikal, tetapi apabila meletakkannya dalam dasar baharu ia strategi tepat supaya usaha penyelenggaraan terus dipertingkat,” ujarnya.
Pada sesi pendengaran awam itu, JPS memaklumkan Klang merupakan daerah kedua tertinggi menerima peruntukan penyelenggaraan melibatkan dana berjumlah RM8 juta.
Pengarahnya memaklumkan peruntukan itu termasuk kerja pembersihan saliran dan parit serta perangkap sampah.
ends.....