SHAH ALAM, 15 OKT: Sejumlah RM8 juta diperuntuk untuk kerja penyelenggaraan di Klang sekali gus menjadi daerah kedua tertinggi menerima dana tersebut.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor Dato' Ir Mohd Nazri Yasmin berkata peruntukan itu termasuk kerja pembersihan saliran dan parit serta perangkap sampah.
"Purata peruntukan diterima daripada Kerajaan Negeri adalah RM20 juta untuk seluruh Selangor, RM8 juta sahaja untuk Klang manakala selebihnya daerah-daerah lain.
"Namun, bagi pembangunan loji dan pembinaan ban pula peruntukan diterima cukup besar.

"Bagaimanapun, kita akan masukkan dana selenggara ini dalam permohonan dasar baharu pada tahun hadapan supaya peruntukan dan kerja dapat ditambah pada 2027," katanya.
Beliau menjadi saksi dalam sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di sini, hari ini.
Sesi pendengaran itu dipengerusikan Lau Weng San selaku pengerusi Selcat yang berlangsung di Bilik Gerakan, Wisma Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi membincangkan tentang perkembangan terkini usaha dalam menangani masalah banjir di Klang.

Terdahulu, Mohd Nazri memaklumkan Klang mencatatkan kawasan berisiko banjir paling tinggi iaitu 64 lokasi serta titik panas pula 21 lokasi.
Beliau turut menjelaskan, terdapat satu projek berstatus sakit iaitu di Sungai Kandis, Klang berikutan masalah peralihan utiliti yang memaksa kontraktor memerlukan lanjutan masa.
Sementara itu, Jurutera JPS Klang Ir Mohamad Hafiz Hassan juga selaku saksi keterangan memaklumkan kerja selenggara dilakukan pihaknya merangkumi empat kategori iaitu sungai, kolam takungan, parit dan saliran serta perangkap sampah.
Katanya, purata peruntukan diterima setiap tahun hampir sama iaitu RM8.5 juta pada 2023, RM8.87 (2024) dan RM8.85 juta untuk tahun ini.
"Bagi tahun ini, sejumlah 24 kerja selenggara sungai dilaksana dengan kos RM1.89 juta manakala 19 kerja pembersihan kolam takungan pula membelanjakan RM1.37 juta.

"Untuk parit dan saliran pula, sejumlah 118 kerja dengan merekodkan kos tertinggi iaitu RM5.11 juta sementara perangkap sampah di pintu air pula melibatkan tiga kerja dengan peruntukan RM210,000," katanya.
Sebelum ini, Pemangku pengarah kejuruteraan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berkata pelan pembangunan bandar Klang yang sudah lama termasuk sistem saliran yang tidak efektif dikenal pasti menjadi punca utama berlakunya banjir di kawasan terbabit.
Menurut Ir Mohd Zaidi Zainal, keadaan geografi yang berubah berbanding fizikal sebelum ini juga turut menjadi cabaran pihaknya mengekang kejadian bah.