SHAH ALAM, 15 OKT: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mencadangkan Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh negeri, khususnya Klang, melaksanakan latihan simulasi banjir bagi penduduk.
Pengerusi Selcat, Lau Weng San berkata latihan berkenaan penting untuk memberi persediaan kepada penduduk menghadapi bencana.
“Biasanya latihan simulasi seperti kebakaran, pencerobohan dan banjir diberikan hanya kepada agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, bukannya penduduk. Sedangkan penduduk juga perlu diberi pendedahan supaya mereka mengetahui peranan dan posisi masing-masing ketika bencana.
“Difahamkan, latihan terakhir yang melibatkan penduduk diadakan pada 2023 dengan kos peruntukan RM20,000. Kita perlu pendekatan menyeluruh yang melibatkan komuniti.
“Pegawai daerah mempunyai kuasa untuk melaksanakan program atau latihan melibatkan penduduk. Keutamaan mungkin diberikan kepada Klang, tetapi daerah lain juga boleh melaksanakannya, terutama di kawasan kampung,” katanya semalam.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan sesi pendengaran awam mengenai perkembangan terkini usaha menangani masalah banjir di Klang, yang diadakan di Bilik Gerakan Wisma DNS.
Menurut Weng San, beliau berpuas hati dengan keterangan tujuh saksi yang hadir, termasuk wakil Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah dan Tanah Klang.
Sebelum ini, JPS memaklumkan bahawa Klang merupakan daerah kedua tertinggi menerima peruntukan penyelenggaraan, dengan dana berjumlah RM8 juta. Peruntukan tersebut merangkumi kerja pembersihan saliran, parit, dan perangkap sampah.





