MB arah pengurusan aliran air dari hulu ke hilir diselaras dan bersepadu

6 Nov 2026, 7:11 AM
MB arah pengurusan aliran air dari hulu ke hilir diselaras dan bersepadu
MB arah pengurusan aliran air dari hulu ke hilir diselaras dan bersepadu
MB arah pengurusan aliran air dari hulu ke hilir diselaras dan bersepadu

SHAH ALAM, 6 NOV: Pengurusan aliran air secara menyeluruh dari kawasan hulu hingga hilir, termasuk penyelarasan antara daerah dan agensi teknikal, perlu diperkukuh bagi menangani risiko banjir berulang di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan bersepadu itu penting susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah Kuala Selangor, Petaling dan Klang pada 4 dan 5 November lalu.

Beliau berkata kejadian berkenaan melibatkan dua episod berbeza, iaitu limpahan Sungai Subang dari daerah Petaling pada 4 November yang menjejaskan Kampung Melayu Subang, Merbau Sempak dan Saujana Aman.

Pada 5 November pula, hujan lebat melebihi 100 milimeter di sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam menyebabkan limpahan air ke kawasan Hillpark, Seri Alam dan Saujana Perdana, sekali gus menjejaskan kira-kira 1,000 kediaman.

“Justeru, pengurusan aliran air mesti dilaksanakan secara menyeluruh dari hulu hingga ke hilir, dengan penyelarasan yang jelas antara daerah dan agensi,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau keadaan di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam yang merekodkan antara taburan hujan tertinggi pada 5 November, selain menerima taklimat daripada Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan serta wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Selain kawasan terjejas, beberapa lokasi lain turut diberi perhatian termasuk Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching, Bukit Hijau dan Batu 7, Ijok.

Amirudin berkata isu saliran berkaitan pembangunan dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), kerosakan benteng akibat vandalisme serta kejadian banjir berulang di Masjid Taufiqiah, Sungai Buloh turut memerlukan tindakan pembaikan khusus.

Beliau turut mengarahkan dua projek pembangunan seluas keseluruhan kira-kira 20 ekar di sekitar Saujana Aman diperiksa susulan kejadian banjir yang menjejaskan kediaman penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, kedua-dua projek berkeluasan 15 ekar dan lima ekar itu dikenal pasti mempunyai kesan terhadap peningkatan limpahan air di kawasan berkenaan.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri bersama JPS dan agensi berkaitan akan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf sistem saliran, membina dan meninggikan benteng, melancarkan aliran air serta mewartakan kawasan tadahan dan dataran banjir.

“Pelaksanaan langkah ini perlu diselaraskan dengan baik dan diberi keutamaan mengikut tahap risiko serta keperluan penduduk,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.