SHAH ALAM, 31 JULAI: Permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) 3.0 dijangka dibuka sekitar September atau Oktober ini selepas Kerajaan Negeri membuat beberapa penyesuaian dasar, dengan sasaran memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penerima.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata pembukaan permohonan yang pada asalnya dirancang sekitar Julai turut ditangguhkan bagi menyelaraskan pelaksanaannya dengan beberapa inisiatif negeri yang lain.
Beliau berkata semua permohonan perlu dibuat secara dalam talian, manakala pemohon diwajibkan mengemukakan dokumen sokongan bagi tujuan semakan kelayakan sebelum layak menerima bantuan RM300 sebulan.
"Apabila dibuka nanti, boleh buat permohonan sama seperti sebelum ini semuanya menerusi atas talian kerana pengesahan itu perlu disemak melalui sistem.
"Pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan diperlukan seperti kad pengenalan, maklumat sebagai pengundi sah di Selangor. Kali ini kita ada sedikit penyesuaian mengikut permintaan sebelum ini.
"Tapi, hasrat BINGKAS masih kekal sama, berusaha membantu kategori yang memerlukan. Semoga nilai yang sama RM300 setiap penerima untuk setiap bulan itu dapat membantu meringankan beban keluarga," katanya kepada Media Selangor.

Anfaal berkata syarat kelayakan isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 sebulan dikekalkan, manakala penerima sedia ada perlu mengemukakan permohonan baharu kerana kelulusan tidak akan dibuat secara automatik.
Menurutnya, setiap permohonan akan dinilai mengikut kelayakan semasa.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi SELCARE selaku agensi Kerajaan Negeri yang menguruskan penyaluran bantuan ke e-dompet BINGKAS menerusi aplikasi SELangkah, atau Facebook rasminya bagi mengelakkan penipuan.
"Pemakluman itu mestilah datang daripada Facebook rasmi SELCARE atau Facebook rasmi Anfaal Saari. Jadi jangan tertipu ataupun memberikan maklumat sebarangan kepada mana-mana pihak yang tidak disahkan autoritinya," katanya.
BINGKAS merupakan antara 46 inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang diperkenalkan pada 2022 bagi menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).
Sejak tahun lalu, syarat kelayakan BINGKAS diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 sebulan berbanding had RM3,000 sebelum ini, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat Selangor menerima manfaat.









