Anak tanggung ibu bapa warga emas layak terima RM300 sebulan dalam BINGKAS 3.0

25 Dis 2025, 4:55 AM
Anak tanggung ibu bapa warga emas layak terima RM300 sebulan dalam BINGKAS 3.0
Anak tanggung ibu bapa warga emas layak terima RM300 sebulan dalam BINGKAS 3.0
Anak tanggung ibu bapa warga emas layak terima RM300 sebulan dalam BINGKAS 3.0
Anak tanggung ibu bapa warga emas layak terima RM300 sebulan dalam BINGKAS 3.0

SHAH ALAM, 25 DIS: Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS 3.0) yang bermula Julai depan membolehkan ketua isi rumah yang menanggung ibu bapa warga emas turut layak menerima bantuan RM300 sebulan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata syarat tambahan itu merupakan alternatif membantu meringankan kos sara hidup tinggi terutama melibatkan kalangan penduduk bandar.

“BINGKAS 2.0 akan tamat pada Jun. Untuk fasa seterusnya, kita akan tambah syarat baharu bagi membolehkan anak susah dan menanggung ibu bapa layak terima bantuan RM300 sebulan.

“Walaupun Kerajaan Negeri ada sediakan baucar beli-belah RM150 kepada warga emas menerusi Skim Mesra Usia Emas, namun ada yang masih bergantung kepada anak-anak. Jadi kita mahu bantu isi rumah ini,” katanya kepada Media Selangor.

Sebelum ini, BINGKAS ditawarkan kepada keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan dan mempunyai sekurang-kurangnya dua tanggungan bawah 18 tahun selain merupakan warganegara dan bermastautin lebih 10 tahun di Selangor.

Anfaal berkata syarat tambahan itu dilihat mampu menampung keperluan rakyat memandangkan Selangor mencatat kos kehidupan wajar tertinggi berdasarkan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024.

“Walaupun BINGKAS tak mampu selesaikan masalah kos hidup, namun sekurang-kurangnya ia membantu keluarga berpendapatan rendah. Setakat ini kita kekalkan jumlah penerima seramai 30,000 keluarga.

“Selain BINGKAS, inisiatif MamaKerja yang menawarkan bantuan kewangan RM100 sebulan selama setahun kepada ibu bekerja juga menjadi langkah meringankan kos beban penduduk bandar,” katanya.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Selangor catat kos kehidupan tertinggi bagi semua saiz isi rumah dengan 92.0 mata indeks, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (83.1).

Laporan juga memaklumkan Shah Alam merekodkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) tertinggi bagi peringkat ibu negeri manakala Petaling untuk peringkat daerah pentadbiran.