KLANG, 23 NOV: GM Klang hari ini memperkenalkan “Klang Dalam Lensa”, sebuah pameran fotografi di Atrium, Aras Bawah, GM Klang. Pameran ini mengetengahkan mercu tanda, budaya dan tarikan Bandar Diraja Klang, antaranya Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan Istana Alam Shah.
Lebih daripada hiasan ruang, setiap gambar dalam pameran ini memaparkan Klang di luar imejnya sebagai destinasi borong, iaitu sebuah bandar diraja yang kaya dengan sejarah, warisan dan kepelbagaian budaya.
Pengurus Besar GM Klang, Chloe Tan Siang Hui berkata, kunjungan pelancong dari pelbagai negara yang semakin meningkat membuka peluang kepada GM Klang untuk memainkan peranan lebih aktif sebagai Duta Pelancongan Bandar Diraja Klang.
“Ramai pengunjung datang ke GM Klang untuk membeli-belah, dan kami melihat ini sebagai peluang untuk memperkenalkan Klang dengan lebih dekat kepada mereka. Melalui Klang Dalam Lensa, kami mahu mereka mengenali tarikan dan identiti bandar ini, seterusnya terdorong untuk menerokainya sendiri”.

“Pada masa hadapan, hentian bas Hop-On Hop-Off (HOHO) di GM Klang juga dijangka membawa lebih ramai pengunjung dan pelancong, sekali gus mengukuhkan peranan GM Klang dalam ekosistem pelancongan Klang,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Dato’ Haji Abd. Hamid bin Hussain. Turut hadir ialah Ahli Majlis MBDK Zon N49B, Encik Muhammad Azwan bin Adam; Pengarah Urusan GM Klang, Dato’ Lim Seng Kok; serta barisan pengurusan GM Klang.
Program diteruskan dengan lawatan ke Port Seni, hab kreatif GM Klang yang dilancarkan pada Ogos lalu. Port Seni menghimpunkan karya, produk serta kreativiti komuniti tempatan. Gabungan Klang Dalam Lensa dan Port Seni menjadikan GM Klang lebih daripada sebuah destinasi membeli-belah. Ia kini menjadi pintu masuk untuk mengenali Klang, daripada warisannya hinggalah ke komuniti kreatifnya.









