LUAS pam air Empangan Tasik Subang, kurangkan risiko banjir

23 Nov 2026, 2:02 AM
LUAS pam air Empangan Tasik Subang, kurangkan risiko banjir

SHAH ALAM, 23 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksanakan pengepaman air terhad di Empangan Tasik Subang, petang semalam bagi menyediakan ruang takungan hujan, sekali gus membantu mengurangkan kesan banjir di kawasan hilir.

LUAS memaklumkan langkah intervensi itu dilaksanakan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Menurutnya, langkah berkenaan turut bertujuan memastikan integriti struktur empangan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Langkah intervensi ini adalah langkah kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijalankan melalui pengepaman air terhad semasa cuaca panas dengan pemantauan rapi keadaan semasa paras air sungai di bahagian hilir serta mengambil kira ramalan cuaca di kawasan empangan dan di kawasan hilirnya,” katanya dalam kenyataan.

Keadaan paras air di Empangan Tasik Subang yang dipantau LUAS sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut. Foto Facebook LUAS

LUAS memaklumkan pemantauan berterusan akan dilaksanakan terhadap keadaan empangan dan kawasan sekitarnya bagi mengenal pasti sebarang perubahan paras air, keadaan struktur serta potensi risiko banjir.

"Komitmen ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan LUAS dalam memastikan keselamatan sumber air, kesejahteraan masyarakat dan kesiapsiagaan menghadapi perubahan cuaca di Selangor," katanya.

Semalam, Media Selangor melaporkan fenomena air pasang besar diramal berlaku di Selangor mulai 22 hingga 27 November, dengan paras air laut tertinggi dijangka mencecah 5.3 meter pada 25 November.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa persiapan di kawasan berisiko diteliti segera, khususnya jika fenomena berkenaan berlaku serentak dengan hujan lebat.

Keutamaan turut diberikan kepada operasi mengepam air dari kawasan kediaman serta pemantauan paras air sungai dan laut bagi mengelakkan banjir bertambah buruk.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.