SHAH ALAM, 7 NOV: Struktur binaan tanpa kebenaran di kawasan Hutan Simpan Ulu Gombak yang turut melibatkan rizab sungai berdepan tindakan perobohan selepas pihak terlibat diarahkan mengosongkan kawasan berkenaan.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan pihaknya turut akan membuka kertas siasatan berhubung aktiviti pengubahan sumber tanpa kebenaran di bawah Seksyen 43(1), Enakmen LUAS 1999, khususnya berkaitan pembinaan struktur di kawasan rizab sungai.
Menerusi kenyataan di Facebook, LUAS berkata tindakan itu susulan Operasi Penguatkuasaan Hutan Secara Bersepadu‘Ops Terjah 5’ yang dilaksanakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) bersama agensi berkaitan semalam, bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap pencerobohan dan pembinaan struktur tanpa kebenaran dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
“Operasi bersepadu ini bertujuan memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap struktur binaan yang didirikan tanpa kebenaran di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) selaras dengan peruntukan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
“Susulan operasi tersebut LUAS akan membuka kertas siasatan berhubung kesalahan aktiviti pengubahan sumber tanpa kebenaran di bawah Seksyen 43(1), Enakmen LUAS 1999 khususnya melibatkan pembinaan struktur di kawasan rizab sungai,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan bagi mengarahkan pihak terlibat mengosongkan kawasan berkenaan.
LUAS memaklumkan tindakan perobohan akan dilaksanakan berdasarkan hasil pemeriksaan susulan JPNS sekiranya pihak terlibat gagal memberikan kerjasama.
Menurut LUAS, penglibatan dalam operasi itu mencerminkan komitmen berterusan agensi penguatkuasaan negeri menerusi kerjasama strategik bagi memastikan kawasan hutan simpan dan rizab sungai terus terpelihara daripada aktiviti yang boleh menjejaskan ekosistem.








