SHAH ALAM, 4 NOV: Kerja meninggikan ban Sungai Pelempas sehingga satu meter akan dilaksanakan sebagai langkah segera menangani limpahan air yang menyebabkan banjir di Kampung Melayu Subang.
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata, tindakan itu memberi tumpuan kepada kawasan tebing sungai yang rendah dan dikenal pasti berisiko mengalami limpahan air ketika hujan lebat.
Menurutnya, kapasiti sungai yang tidak lagi mampu menampung aliran air ketika hujan lebat menyebabkan air melimpah ke kawasan kediaman penduduk.
"Di Kampung Melayu Subang, saya sudah tengok dan teliti laporan. Sebenarnya air melimpah di bahagian tebing sungai. Jadi, kita kena naikkan ban.
"Tempat yang dikenal pasti berlaku limpahan dan mempunyai ban rendah akan dinaikkan antara 0.5 hingga satu meter," katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di sini, hari ini.

Izham menjelaskan, kerja berkenaan dijangka melibatkan jajaran sepanjang beberapa ratus meter dengan anggaran kos kurang RM1 juta, namun jumlah sebenar masih tertakluk kepada penelitian teknikal.
Katanya, cadangan itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok (5 November) untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum kerja fizikal dimulakan.
Beliau menegaskan, langkah segera perlu dilaksanakan tanpa menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 2 yang masih di peringkat awal dan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.
"Takkan tunggu lagi empat tahun. Yang projek jangka panjang itu jalan, tapi kita ada langkah segera dan langkah sederhana.
"Quick win (langkah penyelesaian segera) itu untuk menaikkan ban yang utama," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tambahan RM70 juta bagi melaksanakan 255 projek mitigasi banjir segera di seluruh Selangor.
Ini melibatkan antaranya kerja pembersihan sistem perparitan, pembaikan benteng dan pemasangan pam di kawasan berisiko.









