SHAH ALAM, 4 NOV: Ibu pejabat baharu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bernilai RM65 juta dijangka siap pada suku ketiga 2029 dengan kemudahan makmal analisis sampel air bagi menyokong pemantauan pencemaran sumber air negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata bangunan empat tingkat itu turut dilengkapi ruang kerja, bilik mesyuarat, dewan dan auditorium bagi meningkatkan kecekapan operasi agensi berkenaan.
"Projek ini merupakan pejabat yang kosnya bernilai RM65 juta dan akan siap pada suku ketiga tahun 2029, termasuk perabot sekali.
"Makmal pun ada dekat sini untuk semua kes pencemaran. Semua akan dilakukan di sini, analisis sampel," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan berkenaan di Seksyen 33 di sini, hari ini.
Turut hadir EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin, EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato' Ts Saipolyazan M Yusop.

Menurut Ahmad Fadzli, bangunan berkeluasan kira-kira 6,500 meter persegi itu dibangunkan berkonsepkan Guardian of the Rivers dengan reka bentuk menghadap sungai, selaras peranan LUAS dalam mengawal selia dan memantau sumber air Selangor.
Katanya yang juga Timbalan Pengerusi LUAS, pembangunan berkenaan turut mengambil kira keperluan organisasi pada masa hadapan, termasuk kemungkinan penstrukturan semula serta pertambahan jumlah kakitangan.
Beliau menjelaskan LUAS kini mempunyai 311 kakitangan, manakala ibu pejabat baharu itu direka dengan kapasiti tambahan bagi menampung kira-kira 100 kakitangan lagi.
"Kadang-kadang akan datang ada penstrukturan semula pejabat dan sebagainya, jadi kita ambil ekstra 100 lagi.
"Kadang-kadang kita nak lebih ruang untuk mungkin ada ruang kerja, mesyuarat dan sebagainya," katanya.








