Sukarelawan SUKMA dipelawa sertai SERVE, bantu pembersihan pascabanjir

21 Nov 2026, 1:30 AM
Sukarelawan SUKMA dipelawa sertai SERVE, bantu pembersihan pascabanjir

SHAH ALAM, 21 NOV: Sukarelawan yang menjayakan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dipelawa menyertai Sukarelawan Selangor (SERVE) bagi membantu operasi pembersihan pascabanjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendaftaran sukarelawan bagi kerja pembersihan tersebut akan dibuka dalam tempoh terdekat.

“Disaat meraikan kejayaan, kegembiraan dan mengingati memori indah kemenangan SUKMA dan Para SUKMA, ada sebahagian rakan, saudara mara berdepan dengan banjir yang belum surut.

“Kerajaan Negeri akan melaksana langkah-langkah segera untuk elak hal ini daripada berlarutan. Walaupun telah mencapai beberapa kejayaan tetapi kita harus bekerja keras.

“Saya hargai sebagaimana kontribusi atau sumbangan para sukarelawan yang melancarkan SUKMA dan Para SUKMA. Tidak lama lagi kita akan lancarkan sukarelawan banjir, jadi kepada para sukarelawan, kalau sudi boleh daftar dengan SERVE,” katanya ketika berucap pada Malam Kecemerlangan Sukan Negeri Selangor 2026.

Amirudin berkata pendaftaran itu akan memberi keutamaan kepada kawasan Kuala Selangor yang berdepan banjir berpanjangan.

“Dalam satu dua hari lagi akan dibuka untuk sama-sama kita hargai dan bantu mangsa-mangsa banjir terutama di Kuala Selangor,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Selangor setakat semalam, sebanyak 18 kawasan yang dilanda banjir di daerah Kuala Selangor sejak awal November telah surut sepenuhnya.

Selain itu, 11 kawasan masih belum surut sepenuhnya dengan enam menunjukkan trend peningkatan paras air, tiga mencatatkan penurunan manakala dua lagi kekal statik.

Sebelum ini, EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri mengaktifkan pasukan SERVE sehingga Mac tahun depan bagi membantu kerja pembersihan kediaman dan kemudahan awam yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata pasukan di bawah penyeliaan Majlis Sukan Negeri Selangor menerusi unit pembangunan belia itu bersiap siaga untuk digerakkan apabila berlaku bencana.

Menurutnya, SERVE sebelum ini turut dikerahkan membantu penduduk Kampung Melayu Subang, Kota Damansara yang terjejas akibat banjir awal bulan ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.