SHAH ALAM, 15 OKT: Pelan tindakan mitigasi banjir Klang 2025-2030 akan menjadi dasar menaik taraf sistem saliran utama bandar raya itu ke arah reka bentuk yang boleh ditampung selama 20 tahun.
Pemangku pengarah kejuruteraan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berkata menerusi Klang Sustainable Stormwater Plan (KLASS), kolam tadahan sedia ada turut dinaik taraf selain menjadikan kawasan rekreasi sebagai kolam tadahan jenis kering.
“Taman rekreasi ini mempunyai dwi-fungsi. Ia digunakan untuk beriadah namun ketika musim hujan, dijadikan kolam tadahan kering. KLASS juga juga akan memasang pam kawalan banjir di kawasan rendah,” kata Ir Mohd Zaidi Zainal.
Beliau berkata demikian ketika menjadi saksi sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berkaitan perkembangan terkini usaha menangani masalah banjir di Klang.

Mohd Zaidi berkata KLASS merupakan gabungan kajian dan reka bentuk tebatan banjir untuk kawasan setempat terutama taman perumahan bawah pentadbiran MBDK.
“KLASS juga bertujuan melengkapkan pelan sistem saliran perbandaran secara menyeluruh melibatkan model banjir dan simulasi banjir.
“Pelan bersepadu ini juga akan menyediakan cadangan tebatan banjir yang boleh menyokong sistem tebatan banjir bawah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perancang Bandar MBDK TPr Yusrina Mohamad Yusof memaklumkan PBT itu sedang mengumpulkan data yang lengkap dengan sistem perparitan, saliran air, kawasan titik panas termasuk kolam tadahan.
"Terdapat 36 pelan induk diletakkan di bawah pelan pencegahan ini yang mana penyediaannya di peringkat awal berbincang dengan pelbagai agensi. Pelan induk ini juga mencadangkan berkaitan pembesaran jalan dan sistem perparitan.
"Menerusi pelan induk ini juga, kita akan tentukan kawasan mana yang perlu dibina kolam tadahan atau setidaknya membina kemudahan sementara bagi mengelak banjir," katanya.