GM Klang bantu usahawan OKU bangkit selepas hilang kerja, diuji kesihatan

12 Sep 2026, 5:00 AM
GM Klang bantu usahawan OKU bangkit selepas hilang kerja, diuji kesihatan
GM Klang bantu usahawan OKU bangkit selepas hilang kerja, diuji kesihatan

KLANG, 12 SEPT: Kehilangan mata pencarian selepas 25 tahun bekerja dalam sektor minyak dan gas tidak mematahkan semangat Ahmad Anda' Ismail untuk bangkit menyara kehidupan menerusi bidang keusahawanan.

Beliau yang juga individu orang kurang upaya (OKU) fizikal turut menerima rawatan psikiatri susulan tekanan selepas diberhentikan kerja pada 2019, namun keadaan itu tidak menghalangnya untuk berdikari dan membina sumber pendapatan sendiri.

"Bagi saya, OKU itu bermaksud 'Orang Kuat Usaha', bukannya Orang Kurang Upaya.

"Saya berterima kasih dan sangat menghargai peluang diberikan pihak GM Klang dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kerana menyediakan tapak perniagaan pada harga mampu milik," katanya ketika ditemui pada Bazar Usahawan OKU sempena Program Terang Kentara di GM Klang, semalam.

Usahawan, Ahmad Anda’ Ismail ketika ditemui pada Bazar Usahawan OKU sempena Program Terang Kentara di GM Klang pada 11 September 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Menurut Ahmad Anda', platform disediakan GM Klang bersama Koperasi Usahawan MyOKU Selangor Berhad (MyOKU) bukan sahaja membuka ruang berniaga, malah menghubungkannya dengan usahawan OKU lain.

Katanya, peluang itu turut membantu meluaskan jaringan perniagaan dan memberi ruang kepada usahawan sepertinya untuk terus berkembang.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Usahawan MyOKU, Muhamad Asyraf Mahat berkata koperasi berkenaan telah membantu melahirkan lebih 200 usahawan OKU di Selangor dalam usaha meningkatkan pendapatan komuniti berkenaan.

Pengerusi Koperasi Usahawan MyOKU, Muhamad Asyraf Mahat ketika ditemui pada Program Terang Kentara bersama Usahawan OKU di GM Klang pada 11 September 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Menurutnya, kemudahan kondusif di GM Klang turut membantu usahawan OKU mendekati masyarakat, membina keyakinan diri serta meluaskan jaringan pasaran.

"Akses di dataran GM Klang ini sangat mesra komuniti OKU khususnya tempat parkir yang dekat dengan tapak perniagaan yang memudahkan pemunggahan barang oleh usahawan OKU.

"Misi utama kami adalah untuk meningkatkan pendapatan komuniti OKU daripada penerima manfaat kepada memberi manfaat, selari dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030)," jelasnya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.