SHAH ALAM, 22 NOV: Penduduk di kawasan pesisir Selangor diminta bersedia menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku mulai esok (23 November) hingga 27 November, dengan paras air laut tertinggi diramal mencecah 5.3 meter.
Berdasarkan hebahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang dan Kuala Langat, bacaan tertinggi itu dijangka berlaku pada jam 6.02 pagi, 25 November.
Paras air laut turut diramal mencapai 5.2 meter pada jam 5.19 pagi, 24 November dan jam 6.44 pagi, 26 November.
Sementara itu, bacaan 5.1 meter dijangka direkodkan pada jam 4.34 pagi, 23 November dan jam 7.25 pagi, 27 November.
Di Sepang, Unit Pengurusan Bencana Pejabat Daerah dan Tanah Sepang memaklumkan paras air pasang di Bagan Lalang dijangka meningkat kepada 3.09 meter pada 23 November dan 3.24 meter pada 24 November.
Bacaan tertinggi bagi tempoh berkenaan diramal mencecah 3.31 meter pada jam 6.36 pagi, 25 November.

Ramalan cuaca di Klang dan Kuala Langat turut menunjukkan kemungkinan hujan serta ribut petir di beberapa tempat sepanjang tempoh fenomena berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat persediaan dan sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran.
Sementara itu, Kuala Selangor turut menjadi antara kawasan yang diberikan perhatian menjelang fenomena air pasang besar berkenaan.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa persiapan di kawasan berisiko diteliti segera, terutama jika fenomena air pasang besar berlaku serentak dengan hujan lebat.
Beliau berkata keutamaan diberikan kepada usaha mempercepat operasi mengepam air dari kawasan kediaman serta memantau keadaan sungai dan paras air laut bagi mengelakkan situasi banjir bertambah buruk.
Perkara itu disuarakan selepas beliau melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela, Kuala Selangor pada 19 November lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, kerja penampalan semula ban sungai dan penambahan pam air turut dilaksanakan di Parit Mahang bagi mempercepat proses air surut.
Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Bencana Daerah (DDOC) Klang di 03-3382 9292 dan Kuala Langat di 03-3182 2565.






