SHAH ALAM, 19 NOV: Dua kawasan di Selangor iaitu Kuala Langat dan Sepang dijangka dilanda ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga jam 10 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan amaran cuaca itu turut melibatkan empat negeri lain iaitu Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di Terengganu, kawasan terlibat ialah Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu, manakala di Pahang membabitkan Kuantan, Pekan serta Rompin.
Amaran turut meliputi Port Dickson di Negeri Sembilan serta Alor Gajah dan Melaka Tengah di Melaka.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku lebih sejam.
"Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya.







