JPS Selangor: Hujan lebat, air pasang besar punca banjir Jalan Perepat

9 Nov 2026, 1:00 PM
JPS Selangor: Hujan lebat, air pasang besar punca banjir Jalan Perepat

SHAH ALAM, 9 NOV: Hujan sangat lebat dengan taburan mencecah 108.5 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam dikenal pasti antara punca banjir di Jalan Perepat, Kuala Langat dan Kampung Tengah, Gombak semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan bacaan tertinggi direkodkan di Stesen RS Batu 8, Kuala Langat, diikuti Stesen Simpang Tiga, Kuala Lumpur (93mm), Batu 7, Sijangkang (85mm) dan Gombak Barrage (75.5mm).

Menurutnya, hujan lebat antara jam 5.30 petang hingga 8.30 malam itu menyebabkan sistem saliran dalaman tidak mampu menampung jumlah air larian, sekali gus mengakibatkan limpahan di kawasan terjejas.

“Banjir di Jalan Perepat, Kuala Langat adalah susulan daripada hujan yang sangat lebat semasa air pasang besar dan menyebabkan sistem saliran dalaman tidak dapat mengalir keluar ke sungai.

“Kapasiti parit sedia ada juga tidak dapat menampung jumlah air larian yang banyak pada ketika hujan sangat lebat,” menurut kenyataan JPS Selangor hari ini.

Bagi Kampung Tengah, Gombak pula, JPS menjelaskan kejadian berpunca daripada kapasiti sistem saliran dalaman yang tidak mencukupi untuk menampung air larian susulan hujan sangat lebat.

Susulan itu, JPS sedang melaksanakan penyelenggaraan sistem saliran utama serta mengoperasikan pam di Pintu Air Segenting bagi mengurangkan risiko banjir di Jalan Perepat.

Pada masa sama, projek menaik taraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Perepat kini mencapai 94 peratus kemajuan.

Satu lagi projek menaik taraf sistem saliran di Jalan Perepat, Kampung Telok Panglima Garang (Fasa 2) dijangka memasuki peringkat tender pada suku kedua 2028.

Sementara itu, kerja penyelenggaraan dan pembersihan saliran dari Taman Harmonis ke Jalan Tengah 1 di Kampung Tengah, Gombak telah selesai dilaksanakan.

JPS turut merancang kajian saliran dalaman melibatkan Kampung Tengah, Kampung Kerdas dan Kampung Changkat bagi menentukan keperluan kerja menaik taraf sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Pihak Kerajaan Negeri juga akan mengambil langkah-langkah tambahan di bawah tindakan segera dan sederhana jika perlu bagi mengurangkan risiko banjir sementara projek jangka panjang disiapkan,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada JPS Selangor menerusi talian 03-5544 7376.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.