SHAH ALAM, 22 NOV: Penjualan makanan tamat tempoh dan tiada tanda harga antara kesalahan dikesan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di Bandar Serenia, Sepang pada 17 November lalu.
Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memaklumkan sebanyak enam tindakan kes diambil dalam operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sepang serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang.
Menurutnya, PKD Sepang mengambil dua tindakan kes tamat tempoh, manakala KPDN bertindak terhadap dua premis yang gagal mempamerkan tanda harga makanan, minuman dan beberapa barangan jualan.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut pula mengambil dua tindakan kes terhadap premis yang didapati mempamerkan iklan tanpa lesen.
“Operasi bersepadu ini dilaksanakan susulan aduan orang awam yang melibatkan pelbagai kesalahan di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan yang terlibat,” menurut kenyataan MPSepang.

Menurutnya, tindakan terhadap kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen diambil mengikut Undang-Undang Kecil Iklan (MP Sepang) 2007.
Kesalahan gagal mempamerkan tanda harga pula mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala kes berkaitan makanan tamat tempoh mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
MPSepang turut menasihatkan pemilik dan pengusaha premis supaya memastikan lesen perniagaan serta lesen iklan sentiasa sah dan mematuhi peraturan ditetapkan.
“Pengusaha juga diingatkan supaya memastikan premis perniagaan sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat dan tidak menjalankan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
“Kerjasama antara agensi penguatkuasaan akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara,” tegasnya.









