PBT perlu nilai kemudahan awam berdasarkan keperluan pelbagai kumpulan masyarakat

5 Okt 2026, 1:00 PM
PBT perlu nilai kemudahan awam berdasarkan keperluan pelbagai kumpulan masyarakat

SHAH ALAM, 5 OKT: Kemudahan awam, ruang komuniti dan tandas awam antara bidang yang sesuai dinilai menerusi Manual Belanjawan Responsif Gender (BRG) bagi memastikan perancangan serta peruntukan pihak berkuasa tempatan (PBT) memenuhi keperluan penduduk.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dr Ani Ahmad berkata pendekatan BRG membolehkan PBT menilai perancangan dan peruntukan berdasarkan keperluan serta pengalaman pengguna daripada pelbagai kumpulan masyarakat.

“Contohnya, ketika merancang atau menaik taraf taman, terminal bas dan tandas awam, penyediaan kemudahan untuk warga emas serta pembinaan dan penyelenggaraan laluan pejalan kaki atau pencahayaan perlu diberi perhatian.

“Penilaian juga boleh dibuat berdasarkan data, kajian pengalaman pengguna serta maklum balas komuniti supaya manfaat peruntukan dapat dirasai lebih meluas oleh wanita, lelaki, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata antara cabaran dalam pelaksanaan BRG ialah membina kefahaman dalam kalangan warga kerja, memastikan ketersediaan data yang mencukupi serta mengintegrasikan analisis BRG dalam proses perancangan dan penyediaan bajet.

Mengulas lanjut, beliau berkata MPSepang turut melihat keperluan menaik taraf portal Majlis bagi membantu OKU mendapatkan perkhidmatan secara digital dengan lebih mudah dan mesra pengguna.

Katanya, pemantauan secara berkala juga penting bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan berdasarkan hasil sebenar selepas sesuatu program atau perkhidmatan dilaksanakan.

Pada 24 September lalu, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari memaklumkan MPSepang dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggunakan Manual BRG bagi memastikan perspektif gender diambil kira dalam perancangan, pengagihan bajet serta penggunaan sumber awam.

Beliau berkata pelaksanaan manual itu antara usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan dasar dan perancangan pembangunan dilaksanakan secara lebih inklusif, dengan perspektif gender diterapkan secara tersusun dalam tadbir urus tanpa terhad kepada program khusus berkaitan wanita.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.