SHAH ALAM, 26 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) meraih satu pingat emas dan satu pingat perak menerusi penyertaan dalam 8th SIRIM Invention, Innovation & Technology Expo (Si2TE) 2026 di Kompleks Advanced Materials Research Centre (AMREC), Kulim Hi-Tech Park, Kedah.
MPSepang memaklumkan Si2TE 2026 anjuran SIRIM Berhad yang berlangsung dari 22 hingga 24 September menghimpunkan pencipta, inovator dan penyelidik untuk mengetengahkan idea, teknologi serta inovasi daripada pelbagai sektor.
“Pingat emas diraih menerusi Intelligent Procurement Management System (IPMS), iaitu sistem pengurusan perolehan pintar yang dibangunkan bagi membantu proses perolehan dilaksanakan secara lebih sistematik, cekap dan bersepadu.
"Pingat perak pula diraih menerusi PLAYU 3.0, iaitu inovasi penutup longkang lestari yang menggunakan plastik kitar semula dan sisa landskap. Inovasi ini direka dengan ciri lebih selamat, rendah risiko kecurian serta mampu membantu pencahayaan pada waktu malam," katanya di Facebook.
Jelas MPSepang, penyertaan itu turut memperlihatkan usaha pihak berkuasa tempatan berkenaan memperkukuh budaya inovasi menerusi pendigitalan proses kerja dan pembangunan penyelesaian hijau dalam pengurusan perbandaran.
"Kejayaan dua inovasi dalam penyertaan ini mencerminkan usaha MPSepang meneroka pendekatan baharu bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta menangani isu berkaitan perbandaran," katanya.








