Taman mesra autisme Cyberjaya raih anugerah utama peringkat kebangsaan 2026

25 Okt 2026, 8:31 AM
Taman mesra autisme Cyberjaya raih anugerah utama peringkat kebangsaan 2026

SHAH ALAM, 25 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dinobatkan sebagai pemenang utama kategori Best Local Government-Led Initiative menerusi projek Cyberjaya Inclusive Park, Taman Mesra Autisme di Cyberjaya dalam Malaysia’s Scroll of Honour Award 2026.

MPSepang menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan anugerah itu diterima Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmat pada Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Malaysia 2026 di Putrajaya pada 23 Oktober lalu.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan tema 'The Future City I Want to Call Home'.

Cyberjaya Inclusive Park, Taman Mesra Autisme di Cyberjaya merupakan inisiatif MPSepang bagi menyediakan ruang awam yang mesra, selamat, selesa dan inklusif.

Kemudahan itu memberi tumpuan khusus kepada individu autistik serta keluarga mereka bagi memastikan golongan berkenaan turut dapat menikmati ruang awam yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

“Projek ini mencerminkan pendekatan pembangunan yang mengutamakan kepelbagaian keperluan masyarakat dan memastikan kemudahan awam dapat dinikmati oleh semua pihak,” menurut kenyataan di Facebook.

MPSepang memaklumkan pengiktirafan di peringkat kebangsaan itu menjadi pemangkin kepada pihaknya untuk terus memperkukuh inovasi dalam perancangan dan pembangunan bandar.

Usaha berkenaan turut mencerminkan kepentingan pembangunan kemudahan awam yang mengambil kira keperluan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan autistik.

Pengiktirafan itu selaras dengan aspirasi menjadikan Sepang sebuah daerah yang mampan, berdaya huni dan inklusif.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.