SHAH ALAM 14 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mempergiat kerja penyelenggaraan dan pembersihan sistem saliran sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata usaha dilaksanakan secara berkala dengan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik serta mampu menyalurkan air hujan ke sungai.
“MPSepang dan KDEB Waste Management (KDEBWM) Cawangan Sepang terus mempergiat kerja-kerja pembersihan longkang.
"Kerja pembersihan merangkumi pengeluaran sampah, mendapan dan halangan dalam longkang bagi memastikan aliran air lebih lancar, sekali gus mengurangkan risiko penyumbatan ketika hujan lebat," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan, MPSepang turut mempergiat pembersihan longkang monsun selaras dengan arahan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari supaya semua pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi MTL.
Selain kerja penyelenggaraan, pemantauan berterusan di lapangan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti lokasi yang memerlukan tindakan pembersihan serta penyelarasan lanjut dengan agensi berkaitan.
"MPSepang turut mengingatkan masyarakat supaya bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah ke dalam longkang atau sistem saliran kerana perbuatan itu boleh menyebabkan saliran tersumbat serta meningkatkan risiko banjir kilat," katanya.







