SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 1,866 mangsa banjir daripada 526 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tiga daerah di Selangor setakat jam 11 pagi ini.
Berdasarkan data portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuala Selangor merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,825 mangsa daripada 517 keluarga ditempatkan di 11 PPS, manakala selebihnya berada di Gombak dan Kuala Langat.
Menurut data berkenaan, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela di Kuala Selangor menempatkan mangsa paling ramai iaitu 401 orang daripada 103 keluarga, diikuti SK Parit Mahang dengan 365 mangsa daripada 97 keluarga.
PPS SK Sultan Abdul Aziz pula merekodkan 223 mangsa daripada 81 keluarga, manakala Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching menempatkan 184 mangsa daripada 53 keluarga.
Selain itu, PPS SK Rantau Panjang menempatkan 136 mangsa, Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (135), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (120) dan SK Jaya Setia (85).

Tiga lagi PPS di daerah itu ialah Sekolah Rendah Agama Pasangan dengan 71 mangsa, KAFA Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (65) dan Dewan Orang Ramai Seri Harmoni (40).
Sementara itu, PPS SK Batu Arang di Gombak menempatkan 25 mangsa daripada lima keluarga, manakala Balai Raya Kampung Sungai Kelambu di Kuala Langat merekodkan 16 mangsa daripada empat keluarga.
Antara PPS yang paling awal dibuka ialah SK Dato' Maharaja Lela dan Sekolah Agama Batu 8 Ijok pada 5 November, diikuti SK Parit Mahang pada 6 November.
PPS Sekolah Rendah Agama Pasangan pula mula dibuka pada 21 November, menjadikannya pusat pemindahan paling baharu dalam senarai berkenaan.






