SHAH ALAM, 18 NOV: Hujan sangat lebat dengan taburan antara 63.5 hingga 114.5 milimeter (mm) menyebabkan banjir di 23 kawasan membabitkan empat daerah di Selangor, semalam.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan Klang mencatat jumlah kawasan terjejas tertinggi iaitu lapan, diikuti Gombak (tujuh), Kuala Selangor (lima) dan Petaling (tiga).
"Di Klang, kawasan terjejas termasuk Kampung Bukit Kapar, Taman Bukit Kemuning, Kampung Jalan Kebun, Kampung Bukit Naga, Kampung Johan Setia, Kampung Delek, Kampung Rantau Panjang dan Persimpangan Bukit Raja.
"Di Gombak, banjir dilaporkan di Pekan Batu Arang, Jalan Tasik Puteri, Taman Rahmat Jaya serta beberapa kawasan sekitar Kundang dan Kuang," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, lima kawasan terjejas di Kuala Selangor ialah Kampung Merbau Indah Tambahan, Perumahan Saujana Aman, Jalan Rukun di Kampung Harmoni, Jalan Keretapi Lama di Bukit Badong dan Kampung Desa Ehsan.

Di Petaling pula, banjir melibatkan Lorong Keluli 1C di i-City, Kampung Kubu Gajah dan Kampung Budiman, Shah Alam.
Dalam perkembangan sama, JPS Selangor memaklumkan sebanyak 353 pintu air dan 161 pam kekal berada dalam mod operasi aktif bagi mengeluarkan air banjir ke sungai.
“Sebanyak 141 pam kecemasan mudah alih (pam bergerak) telah dipasang dan beroperasi di sembilan daerah, manakala baki sembilan unit berada dalam mod siap siaga untuk ditempatkan di lokasi kritikal yang diperlukan,” katanya.
JPS Selangor turut meneruskan kerja penyelenggaraan berkala sebelum, semasa dan selepas banjir bagi memastikan sungai serta saliran di bawah tanggungjawabnya sentiasa berfungsi menyalurkan air banjir ke laut.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai banjir menerusi portal Public InfoBanjir JPS Malaysia atau InfoBanjir JPS Negeri Selangor.










