SHAH ALAM, 16 NOV: Jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor menurun kepada 1,342 mangsa daripada 354 keluarga berbanding 1,382 mangsa melibatkan 367 keluarga yang direkodkan malam tadi.
Berdasarkan data Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), enam pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di daerah itu, membabitkan tiga mukim.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 399 mangsa daripada 100 keluarga, diikuti SK Dato’ Maharaja Lela (363 mangsa, 95 keluarga) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (280 mangsa, 83 keluarga).
Tiga lagi PPS yang masih beroperasi ialah Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah dengan 120 mangsa daripada 30 keluarga, KAFA Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (114 mangsa, 28 keluarga) dan Sekolah Agama Batu 8 Ijok (66 mangsa, 18 keluarga).
Menurut portal berkenaan, kejadian banjir di Kuala Selangor mula direkodkan pada 5 November lalu.
Terdahulu, jumlah mangsa banjir di daerah itu pernah meningkat kepada 1,511 mangsa daripada 405 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS pada petang 14 November.
Bagaimanapun, jumlah berkenaan berkurangan kepada 1,382 mangsa daripada 367 keluarga pada malam 15 November sebelum terus mencatatkan penurunan berdasarkan data terbaharu.






