Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat, 11 PPS beroperasi

19 Nov 2026, 3:09 AM
Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat, 11 PPS beroperasi
Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat, 11 PPS beroperasi

SHAH ALAM, 19 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 1,652 orang daripada 437 keluarga setakat jam 10.53 pagi ini, berbanding 1,392 mangsa membabitkan 372 keluarga petang semalam.

Berdasarkan data portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 11 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Gombak.

Jumlah itu menunjukkan pertambahan 260 mangsa daripada 65 keluarga, manakala bilangan PPS meningkat daripada sembilan kepada 11.

Kuala Selangor merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan tujuh PPS dibuka, diikuti Klang (dua) serta Kuala Langat dan Gombak masing-masing satu.

Di Kuala Selangor, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela menempatkan 377 mangsa, diikuti SK Parit Mahang (374) dan Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching (239).

Petugas JKM menulis jumlah mangsa terkini yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SRA Bukit Kuching, Kuala Selangor pada 12 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Tiga lagi pusat pemindahan di daerah itu ialah Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (121), Dewan Orang Ramai Seri Harmoni (59) dan KAFA Integrasi Hidayah, Bukit Cherakah (58).

Sementara itu, di Klang, seramai 200 mangsa ditempatkan di Dewan Masjid An-Naim Kampung Jalan Kebun, manakala 130 lagi berlindung di SK Sungai Binjai.

Kuala Langat pula merekodkan 31 mangsa di Dewan Orang Ramai Kampung Jaya Sepakat, Sijangkang.

Di Gombak, seramai 20 mangsa ditempatkan di SK Batu Arang, Rawang.

Semalam, Bernama melaporkan seramai 1,392 mangsa daripada 372 keluarga berlindung di sembilan PPS di Selangor setakat jam 4 petang.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara turut menasihati penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir di Sepang, Kuala Langat dan Gombak supaya berwaspada susulan amaran kemungkinan banjir yang dikeluarkan bermula petang semalam hingga 11.59 malam Sabtu ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.