SHAH ALAM, 22 NOV: Ban Sungai Buloh di Kuala Selangor sedang diperkukuh bagi mengurangkan risiko limpahan berulang, terutama ketika hujan lebat serentak dengan fenomena air pasang besar.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan kerja itu meliputi pembinaan benteng sementara, penyediaan beg pasir besar untuk kecemasan serta tambakan dan pemadatan tanah bagi meningkatkan ketinggian ban.
Menurutnya, kerja pembaikan dan penstabilan tebing ban yang terjejas turut dilaksanakan bagi memperkukuh struktur berkenaan.
"Langkah tersebut bertujuan mengurangkan risiko limpahan berulang dan meningkatkan keupayaan ban menghadapi kenaikan aras air sungai," kata wakilnya kepada Media Selangor.
JPS menjelaskan hujan lebat yang berlaku serentak dengan air pasang besar meningkatkan risiko bah di kawasan rendah dan pesisir pantai kerana pelepasan air ke sungai atau laut lebih perlahan.
Katanya, ramalan hujan, aras sungai, keadaan saliran dan jadual pasang surut dipantau secara berterusan bagi membolehkan tindakan awal diambil.
"(Langkah lain termasuk) mengoperasikan pintu air berdasarkan aras sungai dan jadual pasang surut bagi memaksimumkan pelepasan air ketika air surut serta mengelakkan aliran balik semasa air pasang," menurut jabatan itu.

Dalam pada itu, JPS turut mengoperasikan rumah pam, manakala pam mudah alih digerakkan ke lokasi kritikal berdasarkan keperluan dan tahap risiko semasa.
Jelasnya, pemeriksaan dan pembersihan segera dilakukan di pintu air, struktur lintasan, pembetung serta saluran utama bagi memastikan aliran tidak terhalang oleh sampah, mendapan atau tumbuhan.
"Kakitangan teknikal dan pasukan operasi bersiap siaga, termasuk menjalankan pemantauan serta pengoperasian aset selama 24 jam apabila diperlukan.
"Keutamaan utama adalah keselamatan penduduk dan memastikan semua aset kawalan banjir berfungsi secara optimum," menurut JPS.
JPS menambah maklumat aras air dan lokasi berisiko disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah bagi penyelarasan tindakan serta pemindahan penduduk sekiranya perlu.
Menurutnya, perhatian khusus diberikan kepada kawasan rendah, pesisir pantai dan lokasi yang mempunyai sejarah banjir, termasuk kawasan berisiko mengalami banjir genang atau banjir termenung.
"Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya mengikuti amaran dan hebahan rasmi pihak berkuasa, mengelakkan kawasan yang dinaiki air, tidak memandu meredah banjir serta membuat persediaan awal untuk berpindah sekiranya diarahkan," katanya.








