JPS laksana kerja pendalaman dan pelebaran parit, kurangkan risiko banjir

2 Dis 2025, 4:40 AM
JPS laksana kerja pendalaman dan pelebaran parit, kurangkan risiko banjir
JPS laksana kerja pendalaman dan pelebaran parit, kurangkan risiko banjir

SHAH ALAM, 2 DIS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Klang melaksanakan kerja pelebaran dan pengorekan parit di Jalan Kampung Lombong bagi meningkatkan kapasiti saliran ketika hujan lebat.

Agensi itu memaklumkan ia bertujuan memastikan aliran air lebih lancar serta mampu menampung jumlah air yang tinggi, seterusnya mengurangkan risiko banjir.

“Kerja-kerja turut meliputi pembersihan semak, pembuangan mendapan, dan penambahbaikan struktur parit sedia ada.

“Langkah ini dijalankan untuk menjamin keselesaan dan keselamatan penduduk yang sering terjejas akibat limpahan air semasa musim hujan,” maklumnya di Facebook.

JPS daerah Kuala Langat menjalankan kerja pembaikan di ban berdekatan Lebuhraya ELITE. Foto Facebook JPS Daerah Kuala Langat

Sementara itu, JPS daerah Kuala Langat bertindak pantas selepas menerima laporan kenaikan paras air di kawasan Labohan Dagang dan Bukit Changgang, petang semalam.

“Pasukan teknikal segera menggunakan dron bagi mengenal pasti punca masalah. Pemantauan udara mendapati terdapat ban parit di Lebuhraya ELITE yang pecah, menyebabkan air melimpah ke kawasan perkampungan berdekatan.

“Sebagai tindakan segera, JPS menghantar jentera ke lokasi untuk menjalankan kerja pembaikan bagi memastikan kawasan perkampungan tidak terus dilanda banjir akibat limpahan air,” kongsi agensi itu di Facebook.