MTL: JPS sedia 157 pam mudah alih di kawasan berisiko banjir di Selangor

20 Nov 2026, 2:00 PM
MTL: JPS sedia 157 pam mudah alih di kawasan berisiko banjir di Selangor

SHAH ALAM, 20 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan 157 pam kecemasan mudah alih di Selangor sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Berdasarkan infografik yang dikongsikan di Facebook, sebanyak 146 pam berada dalam status sedia, manakala 11 lagi siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir, khususnya di kawasan berisiko dinaiki air di serata negeri ini.

Persediaan itu penting susulan amaran banjir yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), dengan risiko banjir dijangka berlaku dari 18 hingga 21 November di kawasan rendah di tiga daerah iaitu Sepang, Kuala Langat dan Gombak.

Amaran berkenaan melibatkan kawasan dalam lingkungan lima kilometer dari lembangan sungai berikut:

Sepang: Kawasan sekitar Lembangan Sungai Langat, termasuk Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut dan persimpangan FT29/FT32.

Kuala Langat: Kawasan sekitar Lembangan Sungai Langat, termasuk Jalan Perepat, Taman Dato’ Hormat dan Kampung Sri Cheeding (Jalan Bukit Kecil/Jalan Desa 6 Kemandol).

Gombak: Kawasan sekitar Lembangan Sungai Selangor, termasuk Kampung Cempedak, Kuang, Pekan Rawang, Jalan Maxwell dan Taman Rahmat Jaya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebih kerap berlaku sehingga 21 November, manakala fenomena air pasang besar dijangka berlangsung dari 23 hingga 27 November.

Gabungan hujan lebat dan air pasang besar berpotensi meningkatkan risiko banjir, terutama di kawasan rendah dan lokasi yang dikenal pasti berisiko.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.