Ramalan banjir di empat jajahan Kelantan bermula 24 November - JPS

22 Nov 2026, 7:24 AM
Ramalan banjir di empat jajahan Kelantan bermula 24 November - JPS

KOTA BHARU, 22 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan kejadian banjir di empat jajahan di Kelantan bermula 24 hingga 27 Nov ini susulan analisis data hidrologi model ramalan banjir.

JPS menerusi Ramalan Awal Banjir Negeri Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawasan terlibat ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, khususnya kawasan hotspot banjir, kawasan rendah serta berisiko banjir.

Di Jeli, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan.

Bagi Pasir Mas, kawasan terlibat merangkumi Sungai Golok, Sungai Bunut Susu, Sungai Meranti, Sungai Tandak, Sungai Kedotok, Sungai Lanchang, Tasik Garu, Tasik Danau To’ Uban, Sungai Rengas, Sungai Lemal dan Sungai Lemal Mati.

Sementara itu, di Tanah Merah, kawasan yang dikenal pasti ialah Sungai Golok, Sungai Jegor, Sungai Manal, Sungai Jedok, Sungai Air Bujing dan Sungai Lanas.

Di Tumpat pula, kawasan berisiko melibatkan Sungai Golok, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Mentua, Sungai Gali, Sungai Kelaboran dan Sungai Tapang.

Menurut JPS, pemantauan berterusan akan dilaksanakan dan hebahan amaran banjir akan dikeluarkan sekiranya hujan signifikan terus berlaku di lembangan sungai berkenaan.

JPS turut memaklumkan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan.

Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk khususnya di kawasan yang dijangka terjejas diminta sentiasa berwaspada dan peka terhadap arahan pihak berkuasa.

Maklumat dan amaran semasa boleh diperoleh menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my serta Facebook PublicInfoBanjir.

--BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.