SHAH ALAM, 15 SEPT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) meminta penduduk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau kejadian vandalisme kepada pihak berkuasa.
Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata pihaknya menerima aduan berulang membabitkan kerosakan sengaja termasuk kecurian infrastruktur elektrik di beberapa lokasi yang dikenal pasti.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja merosakkan harta benda awam, malah menyusahkan kehidupan harian penduduk setempat akibat kerosakan sistem bekalan kuasa,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata penglibatan aktif komuniti penting bagi membantu pihak berkuasa membendung kejadian berkenaan, terutama di kawasan yang kerap mengalami gangguan bekalan elektrik akibat vandalisme.
Menurut Norfiza, persatuan penduduk juga digalakkan mengaktifkan pelan keselamatan komuniti masing-masing termasuk rondaan Skim Rukun Tetangga serta menjalinkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa.
MBDK turut menyenaraikan beberapa lokasi yang menerima aduan baharu pada tahun ini iaitu Taman Badrishah, Jalan Temenggung, Sentosa berhampiran KFC, Jalan Remia di Bukit Tinggi yang melibatkan dua unit serta Taman Klang Ria.
Sementara itu, lokasi yang merekodkan kes pada 2025 ialah Persiaran Impian, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Bukit Tinggi, Jalan Kasuarina 2, Jalan Resak, Jalan Kasuarina 8, Jalan Kasuarina 12, Jalan Selampit 29 dan Lorong Seruling 59.








