GM Klang, MyOKU perkasa usahawan OKU menerusi Terang Kentara

12 Sep 2026, 3:00 AM
GM Klang, MyOKU perkasa usahawan OKU menerusi Terang Kentara
GM Klang, MyOKU perkasa usahawan OKU menerusi Terang Kentara
GM Klang, MyOKU perkasa usahawan OKU menerusi Terang Kentara
GM Klang, MyOKU perkasa usahawan OKU menerusi Terang Kentara

KLANG, 12 SEPT: Seramai 12 usahawan orang kurang upaya (OKU) mendapat manfaat menerusi Pusat Pemborong GM Klang yang menyediakan platform perniagaan inklusif bagi membantu mereka menjana pendapatan serta meluaskan pasaran produk.

Usaha itu diteruskan menerusi kerjasama kali ketiga antara GM Klang dan Koperasi Usahawan MyOKU Selangor Berhad (MyOKU) melalui penganjuran Bazar Usahawan OKU sempena Program Terang Kentara bermula 11 hingga 13 September ini.

Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang, Nurhani Yasmeen Mohd Zainan berkata program berkenaan memberi ruang dan keutamaan kepada komuniti OKU untuk berniaga dengan lebih selesa, selain berinteraksi secara langsung dengan pengunjung.

Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang, Nurhani Yasmeen Mohd Zainan ketika ditemui pada Program Terang Kentara bersama Usahawan OKU di GM Klang pada 11 September 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Platform di GM Klang direka untuk merangkumi semua lapisan masyarakat secara inklusif.

“Selain ruang niaga, kami menyokong pergerakan usahawan dan pengunjung OKU menerusi kemudahan fasiliti mesra pengguna seperti kawasan dataran yang luas, kemudahan parkir khas serta laluan ramp,” katanya.

Menurut beliau, kemudahan yang disediakan turut menyokong peranan GM Klang sebagai hab perniagaan mesra komuniti yang boleh diakses pelbagai lapisan masyarakat.

Nurhani Yasmeen berkata pihaknya turut menyasarkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung sepanjang hujung minggu ini.

Pengerusi Koperasi Usahawan MyOKU, Muhamad Asyraf Mahat ketika ditemui pada Program Terang Kentara bersama Usahawan OKU di GM Klang pada 11 September 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Usahawan MyOKU, Muhamad Asyraf Mahat menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan GM Klang dan Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang memudah cara urusan permit perniagaan mereka.

Menurutnya, MyOKU yang didaftarkan sejak 2020 terus komited menyediakan latihan kemahiran keusahawanan, bimbingan berterusan serta sistem sokongan kepada golongan OKU, asnaf, ibu tunggal dan B40.

“Dalam program ini, MyOKU bertindak sebagai penganjur acara yang bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan GM Klang bagi memastikan segala urusan penganjuran bazar berjalan lancar untuk para usahawan.

“Pihak koperasi juga berhasrat untuk menganjurkan program Komuniti Sukan OKU pada tahun ini sempena Hari OKU Sedunia menjelang Disember kelak,” katanya.

Antara produk makanan yang dijual oleh usahawan MyOKU dalam Program Terang Kentara bersama Usahawan OKU di GM Klang pada 11 September 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.