Perkampungan Warisan tonjol identiti daerah, tarik minat pengunjung cilik

22 Nov 2026, 4:00 AM
Perkampungan Warisan tonjol identiti daerah, tarik minat pengunjung cilik
Perkampungan Warisan tonjol identiti daerah, tarik minat pengunjung cilik
Perkampungan Warisan tonjol identiti daerah, tarik minat pengunjung cilik
Perkampungan Warisan tonjol identiti daerah, tarik minat pengunjung cilik

SHAH ALAM, 22 NOV: Perkampungan Warisan yang menghimpunkan reruai seni budaya dari setiap daerah menjadi antara kelainan penganjuran Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini.

Menerusi perkampungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) berpeluang mengetengahkan identiti dan keunikan budaya daerah masing-masing, sekali gus memperkenalkan khazanah warisan kepada pengunjung.

Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Muhammad Azahari Masturi berkata pihaknya memilih untuk menonjolkan warisan masyarakat Jawa yang merupakan sebahagian besar penduduk di daerah berkenaan.

Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Muhammad Azahari Masturi. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Hari ini kita bawa busana warisan dan adat Selangor di reruai kita, serta etnik Jawa yang turut diperagakan di atas pentas tadi.

“Kehadiran pengunjung di reruai juga sangat baik. Ada yang membeli, ada yang tidak pernah lihat busana kita, dan akhirnya mereka tertarik juga untuk membeli,” katanya kepada Media Selangor.

Selain penyertaan PBT, Perkampungan Warisan turut menghimpunkan pengusaha dan penggiat seni budaya yang mempamerkan hasil kraftangan serta mengetengahkan kemahiran dan kesenian masing-masing.

Sementara itu, pengunjung Nik Nazirah Azman, 34, mengambil peluang memperkenalkan permainan tradisional congkak kepada dua anaknya ketika mengunjungi reruai Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Pengunjung, Nik Nazirah Azman. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Kebetulan hari ini tiada aktiviti, jadi saya datang bawa anak-anak ke sini. Mereka tidak pernah main congkak, pernah lihat tapi tak pernah main. Mereka juga berminat apabila tengok guli.

“Bagus program ini kerana bagi pendedahan kepada anak-anak. Anak-anak pun dapat peluang untuk belajar kerana ibu bapa kadang-kadang pun tak sempat mahu ajar dan kenalkan,” kata ibu dua anak itu.

Bagi suri rumah Norizan Saari, 40, kunjungan bersama keluarga memberi peluang kepada tiga anaknya mengenali wau kapal, selain mencuba sendiri aktiviti mencorakkan replika kecil wau berkenaan di reruai Kelab Wau Kapal Cagat Selangor.

Menurutnya, anak-anaknya yang dilahirkan di Selangor turut mendapat pendedahan mengenai wau kapal yang diketengahkan sebagai wau identiti dan wau tradisional negeri.

Suri rumah, Norizan Saari. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Saya mahu anak kenal warisan. Mereka ini anak Selangor. Mereka baharu tahu hari ini mengenai wau kapal. Menarik aktiviti di sini, ada banyak pameran budaya yang kita tidak tahu sebelum ini.

“Program ini perlu diteruskan, diuar-uarkan di platform media sosial. Supaya anak-anak muda ini kenal warisan dan bukan sekadar membuang masa di telefon bimbit,” katanya.

Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor 2026 anjuran PADAT turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk persembahan kesenian tradisional, peragaan Pesona Busana Selangor dan demonstrasi penyediaan makanan tradisional.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan teknik pembuatan wau kapal, baju kurung asli dan dodol, selain menyertai sukan rakyat, Larian Warisan Selangor serta festival makanan Pesta Seri Rasa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.