Temasya Seni Budaya Warisan Selangor kembali meriahkan Shah Alam

17 Nov 2026, 8:33 AM
Temasya Seni Budaya Warisan Selangor kembali meriahkan Shah Alam
Temasya Seni Budaya Warisan Selangor kembali meriahkan Shah Alam

SHAH ALAM, 17 NOV: Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor 2026 kembali memeriahkan Dataran Kemerdekaan Shah Alam selama empat hari bermula Khamis ini hingga Ahad dengan pelbagai pengisian menarik untuk seisi keluarga.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan penganjuran dari 19 hingga 22 November itu menghimpunkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan masyarakat daripada sembilan daerah di negeri ini.

Menurutnya, antara tarikan utama temasya berkenaan ialah Perkampungan Warisan, Pesta Seri Rasa, pameran busana tradisional serta peragaan Pesona Busana Selangor.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan pameran batik dan kraf tangan, demonstrasi pembuatan wau kapal serta masakan warisan masyarakat Cina dan India.

“Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri kemeriahan temasya yang penuh warna-warni ini. Bawa keluarga, ajak rakan-rakan dan bersama-sama kita hidupkan warisan Selangor!” menurut hebahan menerusi Facebook.

Selain mengetengahkan seni dan warisan tradisional, penganjuran itu turut menawarkan pelbagai aktiviti hiburan serta riadah termasuk wayang pacak, persembahan kebudayaan dan etnik serta sukan rakyat.

Antara pengisian lain ialah Larian Warisan Selangor, Malam Mahabbah dan Konsert Malam Hanya Yang Satu.

Bertemakan semangat meraikan seni dan menghayati budaya, temasya berkenaan menjadi platform untuk masyarakat mengenali kepelbagaian warisan yang terdapat di Selangor.

Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan penganjuran berkenaan sepanjang empat hari berlangsung.

Kategorihebahan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.